‘Terima kasih bantu, doakan saya’

“SERONOK nak duduk sini, nanti saya dapat bersekolah,” keriangan jelas terlihat pada wajah kanak-kanak 12 tahun yang kini ditempatkan di rumah Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darussalam, Kampung Melayu Sungai Rapat, di Ipoh, bermula hari ini.

Kanak-kanak yang hidup bersendirian tidak ubah seperti gelandangan selama dua minggu susulan ibunya ditahan pihak berkuasa dipercayai akibat masalah penyalahgunaan dadah itu, diberi penempatan sementara oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di rumah berkenaan.

Kanak-kanak itu turut dibantu Persatuan Budak Bus Stand Ipoh, dengan Presidennya, Amiruddin Mohd Daud, atau lebih mesra dipanggil Tok Anjang mengambil tanggungjawab menjadi penjaga sementaranya, ternyata seronok apabila mendapat kediaman baru yang lebih selesa.

“Saya nak berubah jadi orang lebih baik, nak sekolah… Terima kasih banyak kerana hantar saya ke sini, saya tidak berada di sini kalau saya tak jumpa Tok Anjang.

“Terima kasih pada semua yang membantu saya dan rakyat Malaysia yang mendoakan saya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, selain mendapat tempat tinggal baru, dia juga mendapat pakaian baru hasil sumbangan orang ramai termasuk Tok Anjang dan rakan-rakannya.

“Semalam pergi beli jubah, baju Melayu, gunting rambut dan dapat banyak baju baru penuh satu beg besar.

“Tok Anjang pesan jangan lari, jaga diri, kalau ada cuti nanti dia akan datang ambil saya,” katanya yang bercita-cita ingin menjadi anggota polis.

Sementara itu, Amiruddin yang turut sama dengan pegawai JKM Perak menghantar kanak-kanak itu ke rumah jagaan berkenaan berkata, pada peringkat awal ini kanak-kanak terbabit lebih sesuai ditempatkan di rumah berkenaan.

“Bapa saudara dan datuk saudaranya memang bagi kebenaran serta meminta saya buat yang terbaik untuk anak ini dan bagi pihak saya tiada masalah, kami suami isteri memang suka kanak-kanak.

“Namun pada peringkat ini saya rasa lebih baik dia dijaga di tempat jagaan sebegini, kerana lebih terurus untuk persekolahan, belajar agama dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, rumah jagaan itu dicadangkan JKM dan dia bersetuju kerana mengetahui ianya memang sangat sesuai.

“Terima kasih kepada semua yang membantu, dalam tempoh yang singkat adik ini dapat dibantu,” katanya.

sumber:HM

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*