Penuntut Dan Doktor Gigi Johan Qari Dan Qariah Tilawah Al-Quran Melaka

PENUNTUT Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan doktor pergigian di Klinik Pergigian Ayer Keroh, masing-masing diumumkan johan qari dan qariah pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Melaka Tahun 1440H/ 2019M di Auditorium Masjid Al-Azim Melaka malam ini.

Johan Qari, Mohd Khairi Maidin, 20, dan Qariah, Dr Siti Syahirah Isa, 28, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM8,000, sijil dan hadiah iringan yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Mohd Khairi yang mencatatkan 83 peratus markah keseluruhan berkata, dia tidak menyangka penyertaan kali pertama bagi kategori dewasa membuahkan kejayaan selepas pernah muncul juara bagi kategori remaja anjuran universiti serta Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

“Saya mula minat bertaranum ketika berusia lapan tahun menerusi program televisyen, ‘Mari Bertaranum’ sebelum benar-benar serius ketika di sekolah menengah.

“Setiap hari, saya berlatih selepas Maghrib dan Isyak untuk memperbaiki teknik bacaan dan lagu dalam bertaranum ayat suci al-Quran,” katanya yang mula khatam al-Quran seawal usia enam tahun.

Sementara itu, Dr Siti Syahirah yang memperoleh 79 peratus markah keseluruhan berkata, tuntutan sebagai doktor pergigian tidak menghalangnya mendalami ilmu bertaranum sejak bakatnya dikesan guru di Sekolah Menengah Agama (SMA) Sharifah Rodziah, Melaka ketika di tingkatan dua.

“Saya bertuah walaupun kini dalam bidang perubatan, masih ada ramai guru dan tenaga pengajar sudi membantu terutama Ustaz Azraei Abdul Haq.

“Tiada sebarang petua diamalkan, kecuali hanya mengelakkan pengambilan ais dan makanan berminyak terutama menjelang kejohanan,” katanya yang muncul Johan Qariah Negeri Pahang 2017.

Sementara itu, johan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Melaka bagi kategori Juzuk 1-10 (perempuan) dimenangi Masyitah Mohd Farid, manakala Muhamad Amnan Muhammad Sani muncul johan (lelaki) bagi kategori sama.

Johan kategori Juzuk 1-20 (perempuan) pula dimenangi Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam manakala bagi kategori lelaki pula dimenangi Ahmad Hambali Abdul Kadir.

Johan kategori Juzuk 1-30 (perempuan) dimenangi Mufidah Mastor manakala bagi kategori lelaki dimenangi Abdul Wafi Azzaki Sinwan.

Hadir sama Ketua Menteri, Adly Zahari dan isteri, Dalilah Awaludin.

 

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @KhalifahMedia

 

 

 

Sumber : Harian Metro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*