(video) Hana Aisyah suka ‘speaking’…

“SAYA memang suka bercakap bahasa Inggeris dengan rakan-rakan serta keluarga di rumah sejak sekian lama dan akan terus buat begitu,” kata Hana Aisyah Mustafa Kamal.

Hana Aisyah, 7, adalah murid perempuan yang menjadi bualan hangat netizen dalam media sosial kerana kepetahannya berbahasa Inggeris.

Ini berikutan video temubual dia dengan sebuah stesen televisyen, baru-baru ini tular di media sosial.

Dia yang juga anak kelima daripada sembilan beradik berkata, sehingga kini pergaulannya dengan rakan-rakan tiada masalah, walaupun dia gemar berbahasa Inggeris.

“Saya ada ramai kawan di sekolah. Di rumah saya ada ramai adik-beradik iaitu sembilan orang… dan daripada jumlah itu hanya satu lelaki dan lapan lagi perempuan.

“Saya tinggal di (Kampung) Kedawang dan bersekolah di (Sekolah Kebangsaan) Kedawang,” katanya ketika ditemui selepas bersiar-siar bersama keluarganya di Taman Hidupan Liar Langkawi, hari ini.

Hana Aisyah berkata, minatnya berbahasa Inggeris timbul sendiri dan disokong ahli keluarga terutama bapanya, Mustafa Kamal Mohd Taib, 42, dan ibu, Ummu Salamah Hashim, 37, yang membetulkan kesilapannya.

“Bermula dengan bertutur bahasa Melayu dahulu, kemudian timbul minat berbahasa Inggeris sebelum disokong oleh bapa sehinggalah menjadi amalan saya sekarang.

“Malah, setiap hari saya menonton rancangan televisyen dalam bahasa Inggeris terutama pelbagai siri kartun yang disiarkan oleh stesen televisyen tempatan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada dia berminat menjadi pengacara televisyen, Hana Aisyah berkata, dia hanya berminat menjadi penari balet.

“Selain bertutur bahasa Inggeris, saya juga boleh membaca beberapa perkataan mudah dalam bahasa itu,” katanya.

Murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Kedawang itu turut mempamerkan kebolehan membaca surah al-Fatihah.

Sementara itu, Mustafa Kamal yang juga seorang peniaga dan bekas kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), berkata anaknya itu mula bertutur bahasa Inggeris pada usia tiga tahun.

“Sejak berusia tiga tahun, dia (Hana Aisyah) dah tunjuk minat terhadap bahasa Inggeris lebih daripada bahasa Melayu.

“Ketika menonton televisyen pun dia menunjukkan minat program bahasa Inggeris lebih daripada bahasa Melayu,” katanya.

Katanya, jika menonton siri kartun dalam bahasa asing dan tempatan, anaknya itu akan menukar terjemahan ke bahasa Inggeris termasuk siri kartun tempatan Upin Ipin.

“Ketika berkomunikasi dengan adik beradik pula, Hana Aisyah mengunakan dwibahasa bahasa Melayu-Inggeris iaitu purata 50-50.

“Dia memang gemar berbahasa Inggeris sejak kecil dan sekarang lebih kerap menggunakanya, malah kalau jumpa pelancong asing dia pasti akan ajak berbual,” katanya.

sumberHM

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*