Ziela teruja bakal jadi nenek

KUALA LUMPUR: Penerbit dan pelakon, Datuk Ziela Jalil, bakal bergelar nenek dengan perkhabaran kehamilan puteri sulungnya, Dr Puteri Julia Nabilah Megat Junid, semalam.

Berita menggembirakan itu dikongsikan Julia menerusi Instagram peribadinya, yang meraih ucapan tahniah daripada saudara dan rakan.

Selain meluahkan kesyukuran di atas rahmat kurniaan Allah, perkongsian berkenaan turut disertakan foto imbasan ultra bunyi kandungannya.

Ziela, 48, menerusi Instagramnya juga tidak mampu menyembunyikan rasa teruja bakal menjadi nenek apabila mengesahkan kehadiran anggota keluarga baharu dalam ucapan selamat tahun baharunya di laman sosial berkenaan.

JULIA bersama suami, Dr Dziya Faqhran Mahmod Fauzi. – Foto Instagram Ziela Jalil

“Memasuki 2019, kita melihat semula 2018 dengan rasa kesyukuran nikmat yang Allah berikan, daripada seluruh keluarga dan teman yang banyak membantu sepanjang tempoh itu.

“Kehadiran anggota keluarga baharu, anakku @dziyafaqhran dan keluarganya, yang juga detik kemuncak untuk tahun saya. Paling istimewa adalah khabar saya akan menerima orang baharu lagi, tahun depan (2019). Insya-Allah.

“Terima kasih kepada semua pengikut yang tidak henti mendoakan yang terbaik untuk saya dan keluarga serta sokongan. Alhamdulillah,” katanya.

Terdahulu, Julia yang juga anak pertama daripada tiga beradik itu mendirikan rumah tangga dengan Dr Dziya Faqhran Mahmod Fauzi pada 1 Julai 2018.

SUMBER:BH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*